Followers

Thursday, March 10, 2011

Saya benci perangai OKU. OKU ini dipandang rendah masyarakat. OKU buat kerja apa pun tak pernah sungguh-sungguh. Baru buat kerja sikit dah berhenti separuh jalan.
"Tak mampu," kata mereka.
Memanglah tak ada orang yang suka mahu ambil OKU untuk bekerja dengan mereka. Saya juga sarankan pada teman-teman semuanya supaya janganlah diambil OKU bekerja dengan anda. Mereka hanya bakal menyusahkan anda dengan mereka.
Merungut lebat, kerjanya lambat.
Ya, saya tahu OKU ni banyak kekurangan. Tapi kita yang lain ini juga serba kekurangan. Itukan fitrah manusia. Tiada yang sempurna.
Jadi apa jua dalih yang OKU beri, sama sekali tak boleh diterima!
Sudah malas, banyak pula alasannya.
Apa? Kalian kata saya kejam? Kurang sensitif? Kurang ajar? Kurang asam? Tak ada adab?
Sabar, sabar, sabar dulu...
OKU itu hanyalah satu gelaran, tapi gelaran itu bukanlah mutlak pada satu milikan.
OKU yang saya katakan bukanlah mereka yang tak berkaki tak bertangan. Tapi pada mereka yang kerjanya, hidupnya tiada kesungguhan. Mereka ini tidak lain tidak bukan, hanya mahu hidup bersenang-senangan tanpa mahu mengenal erti kepayahan.
Keliru? Masih rasakan saya zalim tak berhati perut?
Tak mengapalah. Kita semua ada pendapat sendiri. Ini pendapat saya. Kata-kata saya sendiri, dan saya bercakap ini melalui pengalaman dan dari apa yang saya perhati. Kalau kalian tak bersetuju, sila sahaja nyatakan. Tapi saya akan terus tetap dengan pendirian...
Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu.
*OKU - Orang Kurang Usaha itu memang hanya menyusahkan!

Wednesday, March 9, 2011

Bayaran Sebuah Kemaafan

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi s.a.w., Rasulullah bersabda:
Musa bin Imran bertanya: "Hai Tuhanku, siapakah hambaMu yang paling mulia di sisiMu? FirmanNya: "Siapa yang mengutamakan kemaafan sedangkan dia mampu untuk membalas kejahatan org lain."
Saya merasakan bahawa perkara yang paling mahal saya terpaksa bayar dalam perjalanan kehidupan ini adalah; sebuah perpisahan. Membayarnya adalah sesuatu yang sangat menyedihkan.
Seseorang itu sepatutnya bersedia, redha, sabar di saat hati yang hiris dengan kesedihan.
Kita selalu lupa bahawa setiap orang yang telah menambah nilai erti kehidupan kita akan berakhir. Mereka akan pergi meninggalkan kita. Atau kita jua akan berjauhan meninggalkan mereka.
Hari ini kita telah menjadi seseorang. Kita telah menemui pelbagai ragam manusia yang mungkin menyakitkan, mungkin juga menggembirakan. Kita telah pelajari sebuah kehidupan yang sebenar.
Adakah kita berterima kasih kepada mereka? Yang pernah menambah asam garam dalam resepi kehidupan ini?


TERIMA KASIH
Kita seringkali mendengar, "manusia tidak pernah lari dari buat kesilapan", untuk kita sentiasa akui bahawa setiap orang mengaku ketidaksempurnaan dirinya.
Frasa itu juga mengajar kita bahawa "manusia belajar melalui kesilapan", walaupun yang membuat kesilapan itu daripada orang yang lain.
Adakalanya kita rasa sakit hati atas perbuatan seseorang itu. Mungkin sakitnya hati itu tidak dirasai oleh orang yang menyakiti. Mungkin juga dia disakiti.
Namun kita tidak sedar bahawa dia mungkin pernah mengajar kita erti kehidupan lebih banyak dari apa yang dia sakitkan hati kita. Mengapakah kita terlalu keras hati sehingga terlalu mahal harga kemaafan kita?
Tak mahu bertanya sapa, tak mahu mendekati, tak mahu dan tak mahu.
Kerana mungkin kita terlalu sayangkan hati kita? Kuat merajuk? Mungkin?


SELAMAT TINGGAL
Mengapakah seseorang itu merumitkan lagi masalah dengan tidak memaafkan? Sedangkan, lebih mudah menghabiskan cerita yang rumit itu dengan memaafkan?
Kita sebenarnya telah membayar harga yang lebih mahal kerana itu, iaitu dengan memendam sakit hati, berpisah, dan dendam – hanya kerana enggan memaafkan.
Tahukah kita bahawa Rasulullah telah menjadi orang yang berjaya kerana dirinya yang sangat pemaaf? [B]Baginda dibenci, Baginda dicaci, didengki, namun kerana memahami semua itu adalah hakikat manusiawi, Baginda memaafkan.[/B]
Kita mungkin boleh berfikir sendiri, akan manusia yang sangat terpuji akhlaknya. Mungkin Rasulullah itu maksum, bersih hati jiwanya, dan kita tak mampu lakukannya. Tapi bukankah nabi diturunkan agar kita mencontohinya?
Kita bakal lagi akan diuji dengan pelbagai lagi ragam manusia.
Tetapi kita tentu akan tenteram jika kita memaafkan mereka.
Usah merumitkan lagi cerita jika penyelesaiannya hanya dengan membayar sebuah kemaafan andai mereka pernah menjadi rakan, kenalan, atau keluarga kita.


Maafkan sahaja.
Kembalilah bersaudara.
Andai Habil dibunuh kerana hilang rasa persaudaraan daripada satu pihak. Andai agama ini pernah membayar harga persaudaraan itu dengan jenuh dan letih dalam berhijrah. Mengapakah kita menggadaikan persaudaraan itu semudah-mudahnya, angkara perkara yang kecil, tetapi dibesar-besarkan?
Rugilah orang yang memutuskan persaudaraan.


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." - \[Al-Hujurat : 10]

Bertunang Seperti Booking Kereta Baru

Agak janggal juga kalau dalam seratus peserta kursus praperkahwinan ada yang datang secara berseorangan. Hal ini kerana biasanya peserta itu datang berpasangan dengan tunang masing-masing. Malah ada sesetengah tempat yang membiarkan pasangan itu duduk berdekatan dalam dewan kursus.
Inilah realiti hari ini yang sukar diubah dalam pemikiran umat Islam, "ini tunang saya". Bayangkan kalau ke tempat kursus praperkahwinan pun mereka boleh datang secara begitu, apalah halangan untuk mereka berbuat begitu untuk shopping, berdating dan menonton wayang. Apakah dengan bertunang membolehkan mereka berbuat begitu?
Jelas di sini, mereka tidak faham kedudukan tunang dalam Islam, bahkan ibu bapa juga tidak faham hukum Islam secara tepat. Oleh sebab itu, sering kita lihat dan dengar ibu bapa yang berasa risau kalau tunang anaknya tidak datang menjengok anaknya pada hujung minggu. Malah ada ibu bapa yang menyuruh anaknya keluar dengan tunang pada hujung minggu.
[B]Hakikat Bertunang[/B]
Bertunang hakikatnya satu perjanjian persetujuan untuk berkahwin. Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju maka satu tanda ikatan dimeterai bersama. Sebagai tanda ikatan pihak lelaki dan perempuan akan saling menyarungkan cincin pertunangan dan ada juga yang memberikan hadiah lain.
Pada pandangan anda, apakah dengan persetujuan ini, sudah ada ikatan rasmi? Atau apakah hubungan mereka sudah semakin bebas?
Bagi memudahkan kita memahami stuasi ini, suka saya membandingkan pertunangan dengan "booking kereta" sewaktu kita bersetuju untuk membelinya di bilik pameran kereta tersebut. Biasanya syarikat kereta itu akan meminta RM500 - RM1000 sebagai wang pendahuluan tanda jadi.
Kalau kereta yang dimaksudkan itu sudah ada di dalam bilik pameran, mungkin proses pembeliannya hanya akan selesai dalam tempoh seminggu. Tetapi kalau belum ada, mungkin sebulan atau lebih bergantung kepada tempahan.
Walau bagaimanapun, untuk membolehkah kereta itu dikeluarkan, pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga kereta tersebut dan bakinya akan diselesaikan oleh bank. Kemudian apabila kereta itu sudah didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), barulah pembeli itu boleh membawa balik keretanya ke rumahnya.
Ya, berdasarkan proses di atas, bolehkah si pembeli yang baru memberi RM500 atau RM1000 itu, masuk dalam kereta tersebut dan membawa keluar dari bilik pameran? Setahu saya, tidak dibenarkan. Dia hanya boleh masuk untuk duduk dan memegang stering dan mendengar enjin sahaja, selebihnya tidak boleh. Tetapi kalau kereta terpakai (usecar), jurujual boleh membenarkannya untuk memandu dengan syarat jurujual itu duduk di sebelahnya.
Bayangkan kalau baru booking kereta, begitu kedudukannya, apa pula hukumnya seseorang yang baru bertunang yang hanya sekadar menyarung cincin pertunangan. Jadi, pertunangan dalam Islam sepatutnya mencontohi proses di atas. Sebab itu dalam Islam tempoh pertunangan tidak digalakkan terlalu lama.
Dalam tempoh pertunangan itu terdapat beberapa [B]perkara yang diharuskan[/B]. Antaranya ialah:
1. Perhubungan pasangan itu hanya boleh dilakukan di rumah perempuan dengan ditemani oleh mahramnya. Ini bermakna, kalau lelaki membawa kakaknya sebagai teman tidak memadai.
2. Jika lelaki mahu membawa keluar tunangnya, perlulah dibawa bersama ibu atau bapa perempuan itu atau sekurang-kurangnya abang atau kakak perempuan tersebut.
3. Dalam tempoh pertunangan mereka boleh saling mengenali antara satu sama lain untuk mencari keserasian.
4. Dalam keadaan apa sekalipun sentuhan baju tunang adalah dilarang apatah lagi menyentuh kulit termasuk tangan.
5. Tidak digalakkan pasangan tunang itu bermalam dan tidur di rumah pasangan masing-masing walaupun dalam bilik berasingan.
[B]Syariat Dipertahankan[/B]
Islam menyediakan peraturan syariat adalah untuk menjaga maruah diri dan keluarga tunang sebelum mereka berdua disatukan. Hakikatnya peraturan ini bukan bertujuan menyusahkan umat Islam. Malah sekatan dalam pertunangan itu boleh menjadikan mereka teruja untuk menunggu tarikh perkahwinan sebenar.
Bayangkan kalau pasangan itu sudah hidup seperti suami isteri dalam tempoh pertunangan, apakah mereka akan teruja dengan tarikh tersebut. Pada mereka, tarikh itu tidak penting lagi kerana kehidupan suami isteri sudah pun bermula. Malah jangan terkejut, ada kes seperti ini, yang lelaki bertindak memutuskan pertunangan atas alasan bakal isterinya tidak dara lagi.
Jelas di sini batasan yang dibuat ini adalah untuk keselamatan masa depan pasangan itu. Apa tidaknya, sebelum akad nikah pasangan itu masih suci, tidak ada dosa sentuhan, tidak ada dosa besar sama ada khalwat atau zina, tidak mencemarkan nama baik keluarga dan Islam. Jadi, pada waktu akad nikah mereka berdua adalah orang yang bersih di sisi Allah dan manusia.
Tetapi tahukah anda, jika sesuatu pasangan yang bertunang itu tidak mampu untuk mempertahankan syariat di atas, kehidupan mereka setelah berkahwin tidak begitu harmoni kecuali mereka benar-banar bertaubat sebelum diakadnikahkan. Allah yang maha pengampun bersedia mengampunkan dosa mereka jika mereka serius memohon keampunan kepada Allah.
[B]Penguatkuasaan Dari Dalam[/B]
Demi maruah diri, keluarga, dan Islam, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak sebelum bertunang tentang hukum ini agar mereka tidak melanggar syariat sesuka hati. Saya percaya, anak-anak akan mudah memahami dan menghormati peraturan ini jika ibu bapa dapat menunjukkan contoh yang terbaik dalam urusan ini.
Selain itu pihak penganjur kursus pra-perkahwinan seharusnya mengenakan syarat kepada peserta agar mematuhi kehendak syariat. Mereka boleh dibenarkan membawa pasangan, tetapi mereka perlu diberi penjelasan tentang hukum ini. Dan dalam dewan pula, kedudukan mereka perlu dipisahkan termasuk dalam dewan makan.
Tidak kurang penting juga, pihak Penolong Pendaftar Nikah (PPN) yang setiap hari dikunjungi pasangan tunang untuk memohon perkahwinan, sebaiknya mereka itu dinasihatkan agar mematuhi hukum di atas. Teguran PPN ini penting sebagai ilmu asas sebelum mereka berkahwin. Malah sebaiknya ajarkan mereka supaya bertaubat sebagai persiapan sebelum diijabkabulkan.
Saya percaya kalau semua ini dapat difahami dan dilaksanakan oleh pihat terbabit, umat Islam akan terbina maruahnya kembali setelah selama ini dicemarkan oleh umat Islam sendiri.

Tiga Demensi Cinta

CINTA adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat mendalam buat sepasang kekasih. Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut, ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi murahan. Cinta menjadi perkataan mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan selamba.
Lafaz 'AKU CINTA PADAMU' atau 'I LOVE YOU' sudah tidak menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti jantungnya. Pendek kata ungkapan 'AKU CINTA PADAMU' sudah jadi sebutan plastik yang lahir di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati. Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian murah. Mengapa, ya?
Memanglah begini jadinya kerana ramai yang belum mengenal peringkat cinta yang pada pendapat saya sebenarnya ada tiga, mengikut tiga dimensi manusia iaitu fizikalnya, mentalnya dan spiritualnya. Cinta di peringkat pertama ialah cinta fizikal, peringkat kedua, cinta emosional dan peringkat ketiga, cinta spiritual.
Lazimnya, sepasang kekasih hanya mengalami dua dimensi cinta sahaja iaitu cinta fizikal dan cinta emosional. Tidak boleh tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal. Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya, hensemnya dan segala-gala yang dapat dicapai oleh lima pancaindera banyak bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta fizikal.
Pertemuan yang kerap sepasang kekasih, berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, saling bersama pergi dan pulang kerja, membantu menelaah pelajaran, pemberian hadiah dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional. Dari situ, lahirlah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosilah lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi.
Di manakah cinta spiritual? Lazimnya tak terlahir di peringkat ini kerana perasaan ini sukar menjelma jika tidak diketahui. Kerana tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Namun, anak yang dijodohkan oleh ibu bapa akan mengalami cinta spiritual terlebih dahulu sebelum cinta fizikal dan cinta emosional. Ia apa yang selalu disebut sebagai kahwin dahulu, baru bercinta, sedangkan sebenarnya mereka berkahwin kerana mengikut perintah ibu bapa. Apa yang disukai ibu bapa, ia juga disukai ALLAH. Kerana itulah, perkahwinan ini biasanya kekal dan damai kerana ditunjangi cinta spiritual, cinta emosional dan cinta fizikal.
Fizikal, mental dan spiritual seseorang itu harus dipenuhi sebelum seseorang itu akan komited terhadap sesuatu. Justeru itu, cinta fizikal dan cinta emosional sahaja belum melengkapi. Sebab itu ia goyah. Agar perkahwinan itu teguh, carilah cinta spiritual iaitu cinta dan berkahwin kerana menurut sunah Nabi Muhammad s.a.w yang antaranya untuk menambah umat dan kerana mengikut perintah ALLAH.
Ingatlah, jodoh kita ditentukan di Luh Mahfuz. Justeru itu, ia bukan sahaja untuk di dunia, malah membawa ke akhirat. Jika diizinkan-NYA, pasangan kita itulah yang akan menjadi teman kita selama-lamanya di syurga. Berkasih di syurga bukan hanya di dalam lagu cinta, tetapi yang benar akan terjadi jika kita mengerti dengan menyuluh ke denai-denai di hati.